Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Yusuf Azmi keluar PPIM

Yusuf Azmi keluar daripada PPIM, Persatuan Pengguna Islam Malaysia. Yusuf Azmi yang merupakan Pengarah Unit Tindakan Khas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) , mengesahkan beliau tidak lagi bersama persatuan itu.

yusuf azmi keluar PPIM

Yusuf Azmi menyatakan, sebab utama beliau mengundurkan diri kerana bosan dan kecewa dengan pengkhianatan yang dilakukan teman rapat dan orang yang pernah dibantunya. Kekecewaan dan rasa terkilan menyebabkan beliau keluar daripada PPIM.

Beliau lansung tidak mengharapkan sebarang balasan, namun beliau menyatakan tidak dapat menerima fitnah dilemparkan terhadapnya.

"Saya berasa sangat kecewa sehingga mendorong saya membuat keputusan mengundurkan diri daripada PPIM. Fitnah yang dilemparkan terhadap saya sehingga merosakkan imej saya amat memberi kesan, saya tidak boleh terima perkara ini." - Luah Yusuf Azmi penuh kekesalan.

"Selain itu, saya keluar daripada PPIM bagi membolehkan saya meluangkan masa bersama keluarga saya yang selama ini sering saya tinggalkan untuk perjuangan.

"Isu mengenai pergolakan dalaman juga tidak benar sama sekali, saya amat memandang tinggi Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, jika ada mengatakan wujud perselisihan faham antara individu tertentu, ia kekal sebagai spekulasi saja," katanya pada sidang media khas di ibu pejabat PPIM, baru-baru ini.

Menurut Yusuf Azmi lagi, beliau akan memberi fokus kepada program bual bicara berbentuk santai bagi meneruskan perjuangannya dimana fokus beliau lebih kepada dakwah dan bukan lagi turun padang.

Beliau menjelaskan lagi, konsep bual santai atau tarbiyah itu akan dilakukan bagi meneruskan usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai pelbagai kegiatan penipuan terhadap pengguna.

"Selain itu, saya merancang membuka sebuah pusat perlindungan kucing bagi menjaga kucing terbiar dan jika ada yang ingin mengambil untuk dibela, saya berikan percuma. Saya tiada rancangan membabitkan diri dalam politik, kalau ada yang berkata demikian, ia tidak benar," ujar Yusuf Azmi lagi.

Sementara itu, Dato Nadzim berkata, pihaknya menghormati keputusan dibuat Yusuf Azmi.

"Perjuangan kami akan diteruskan seperti biasa dan Yusuf akan tetap menyelesaikan aduan diterima sebelum ini," katanya.

Sebelum ini timbul tanda tanya mengenai status Yusuf bersama PPIM yang disertainya sejak lapan tahun lalu selepas sebuah portal berita melaporkan Dato Nadzim berkata, Yusuf tidak lagi terbabit secara langsung dengan PPIM pada 16 Mac lalu.

Antara kes dikendalikan Yusuf Azmi sehingga ada yang menganggap aktivis berusia 28 tahun itu sebagai wira dan ikon pengguna adalah serbuan ke atas premis pajakan kereta di Kajang dan isu penipuan skim perumahan.