Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Rusuhan kuil: 30 orang ditangkap bantu siasatan

Selisih faham punca gaduh berhubung isu pindah kuil

DUA individu yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian memecahkan cermin dan pintu pusat yang berlaku di pusat beli-belah One City, awal pagi Selasa lalu direman selama tiga hari bermula hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah reman terhadap dua suspek berusia 30-an itu sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, perintah reman selama empat hari turut dikeluarkan terhadap lapan lagi individu yang dikatakan terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

Nor Ariffin membenarkan permohonan pegawai penyiasat kes untuk menahan reman kelapan-lapan suspek sehingga Ahad ini.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Setakat ini, 30 orang direman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan yang berlaku di perkarangan kuil serta kawasan pusat membeli-belah One City, pada awal Isnin dan Selasa lalu.

Antara yang direman termasuklah penasihat undang-undang syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City).

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah, diserang perusuh.

One City Development Sdn Bhd adalah pemaju yang memiliki tanah kuil berkenaan.