Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Najib tidak mengaku bersalah

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah dan syarikat 1MDB.

Najib tidak mengaku bersalah

Najib Razak membuat pengakuan tidak bersalah dihadapan hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak selepas kesemua kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, kesemua pertuduhan itu dibaca di hadapan hakim mahkamah sesyen Datuk Zainal Abidin Kamarudin namun pengakuan tidak direkodkan dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Najib Razak didakwa sebagai seorang penjawat awam jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Untuk pertuduhan kedua, Najib Razak didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta.

Najib Razak dituduh melakukan dua perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Kemudian untuk pertuduhan ketiga, Najib Razak didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah sebanyak RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan keempat, bekas perdana menteri itu didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menyalahgunakan jawatannya bagi suapan dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk menjamin pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas yang dibantu 11 Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Datuk Suhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Datuk Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.