Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Najib tiba di Kelantan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah tiba di bandar baharu Tunjong hari ini bagi menghadiri majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini, yang merupakan antara program utama lawatan kerja sehari beliau ke Kelantan hari ini.

najib teba kelatan

Najib, yang diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed kemudiannya dijadual menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Kampung Wakaf Tok Wali di sini.

Beliau kemudiannya akan menghadiri majlis pecah tanah serentak Giat MARA Prima dan Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab di Kampung Padang Salim, Melor di sini.

Najib, yang juga Presiden Umno, dijadual akan mengadakan satu perjumpaan tertutup bersama Badan Perhubungan Umno Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis pelancaran Hari Wartawan Nasional 2018.

Sementara itu, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) menghadiri Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri yang akan diadakan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini.

Beliau turut dijadual menghadiri Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Kota di Pengkalan Chepa di sini. - Bernama