Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Lelaki Membunuh Diri Akibat Tekanan

Seorang nelayan dikatakan telah membunuh diri di Kampung Serpan Ulu, Asajaya. Lelaki yang berusia 44 tahun itu telah ditemui penduduk di dalam parit dengan leher terjerut pada jam 10.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, sejurus menerima maklumat penemuan mayat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Asajaya telah dihantar ke lokasi.

Menurutnya lagi, lelaki terbabit ditemui dalam keadaan tertiarap dengan lehernya dijerut seutas wayar.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit telah mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu.

“Lelaki terbabit dikatakan mengalami tekanan perasaan selepas anaknya masih belum pulih akibat kemalangan.

“Anaknya sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak,” katanya, hari ini.

Susulan dari keadaan anaknya itu, mangsa turut didakwa mengamuk beberapa kali di rumahnya.

Hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Bedah siasat di Unit Forensik HUS mengesahkan lelaki terbabit mati akibat jerutan pada leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.