Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Calon SPM maut dirempuh kereta

Calon SPM maut dirempuh kereta

KUALA TERENGGANU - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Kedai Buloh di sini, malam tadi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor, Nur Aiman Ashraf Normize, 17, meninggal dunia akibat parah pada anggota badan dalam kejadian di hadapan surau Kampung Kedai Buloh jam 8.40 malam.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah SMK Sultan Mansor menuju ke Kampung Undang, Marang.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, motosikal jenis Yamaha Lagenda 110E ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kereta sebelum terjatuh dan tercampak ke laluan bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.