Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Bayi ditemui mati dalam peti ais pengasuh

GOMBAK - Seorang bayi lelaki berusia lima bulan yang dilaporkan hilang sebelum ini, didakwa diambil seorang lelaki menyamar sebagai bapanya, ditemui mati di rumah pengasuhnya di kawasan Batu Caves.

Bayi ditemui mati dalam peti ais pengasuh

Mayat mangsa, Adam Rayqal Mohd Sufi telah ditemui dalam bahagian atas peti ais dua pintu di rumah pengasuh tersebut kira-kira jam pukul 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat bayi tersebut ditemui disorokkan dalam bahagian sejuk beku. Mayat bayi berkenaan lengkap dengan pakaian dibalut dengan kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.

Mayat bayi tersebut ditemui anggota polis yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

"Mayat bayi dijumpai selepas siasatan polis mendapati keterangan pengasuh terbabit meragukan. Polis kemudian membawa pengasuh tersebut ke rumahnya sebelum ditunjukkan lokasi mayat bayi itu disimpan," ujarnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pihak polis sudah menahan pengasuh yang berumur 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun. Mayat bayi tersebut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Pada awalnya, orang ramai digemparkan dengan penularan berita kehilangan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dipercayai dilarikan individu menyamar sebagai bapa dari rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves.

Kehilangan bayi yang bernama Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif itu disedari ibunya, Farrah Madihah Othman, 28, selepas dihubungi pengasuh memberitahu bayi sudah diambil suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Pauzi, 28.