Tak perlu sekat penjawat awam guna internet

Ketua Setiausaha Negara berkata tiada keperluan untuk menyekat akses kemudahan internet di kalangan penjawat awam dengan tujuan menghalang kebocoran maklumat kerajaan.

Tak perlu sekat penjawat awam guna internet

Susulan kerajaan Singapura mengumumkan untuk mengenakan sekatan kemudahan internet di pejabat kerajaan ke atas penjawat awam mereka bermula Mei tahun depan, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata isu kebocoran maklumat bukan lagi menjadi isu utama di negara ini.



Malah beliau berkata, menyekat penggunaan internet tidak secara keseluruhannya mampu menghalang kebocoran maklumat.

“Kalau tidak ada internet sekalipun, masih ada lagi cara komunikasi lain yang boleh digunakan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Berbuka Bersama Anak-anak Yatim dan Asnaf Rumah Nur Kasih Bestari, Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengakui terdapat kes kebocoran data dan maklumat kerajaan, Ali Hamsa berkata kerajaan mempunyai proses sedia ada untuk mengambil tindakan ke atas pegawai yang mengeluarkan maklumat rahsia kerajaan.

“Memang terdapat kes-kes tertentu seperti penyebaran maklumat rahsia melalui aplikasi Whatsapp dan pegawai yang terbabit telahpun dipanggil dan dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.