Semakin ramai rakyat terima baik GST, kata Najib

"Walaupun dikritik hebat semasa awal pelaksaannya pada 1 April tahun lepas, kini semakin ramai rakyat menerima baik pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana menyedari ia penyelamat ekonomi negara dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dunia," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semakin ramai rakyat terima baik GST, kata Najib

Pada awalnya ia dilihat sebagai keputusan tidak popular kerajaan sehingga dijadikan senjata politik, beliau berkata pakar-pakar ekonomi berpendapat bahawa pelaksanaan GST merupakan langkah kerajaan Malaysia yang amat tepat.

Dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan tanpa pelaksanaan GST, Malaysia akan menghadapi krisis ekonomi yang amat serius seperti Greece, katanya.

"Secara keseluruhannya, kami bukan sebuah kerajaan yang lari daripada tanggungjawab untuk melaksanakan apa-apa keputusan yang difikirkan bagi kebaikan negara dan rakyat.



"Namun, niat baik dan tujuan murni kita telah disalahertikan oleh sesetengah pihak dan dijadikan isu politik walhal secara rasional dan waras, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Hasil negara yang kukuh menyumbang kepada ekonomi resilien yang menentukan kesejahteraan rakyat terus terbela,” katanya.

Pada 1 April 2015 Malaysia telah mula melaksanakan GST pada kadar enam peratus.

Najib turut berkata, kutipan bersih GST bagi tempoh sembilan bulan tahun lepas adalah sebanyak RM27.01 bilion dan pada tahun ini dijangka meningkat RM39 bilion.

"Kutipan GST dipulangkan kepada rakyat dengan melaksanaka projek-projek utama seperti MRT, LRT, Lebuhraya Pan Borneo, Rapid Pengerang manakala projek-projek ICU masih kita laksanakan. Selain itu, kebajikan penjawat awam juga diteruskan termasuk kenaikan tahunan khas pada tahun ini, masih mampu dilaksanakan," katanya.

Najib berkata, faktor luaran seperti ketidaktentuan ekonomi dunia berikutan kejatuhan harga minyak, penguncupan ekonomi China dan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat yang di luar kawalan kerajaan memberi pengaruh yang besar kepada ekonomi Malaysia.

Maka beliau berkata, pengawalan dalaman perlu dan membuat keputusan harus tepat untuk menyumbang dan mendorong pemacuan ekonomi negara walaupun faktor luaran menggugat dan menekan prestasi ekonomi negara.

"Lantaran itu, pencapaian ekonomi negara pada kadar 5 peratus pada tahun 2015 dan 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini boleh dianggap satu pencapaian yang amat baik bersandarkan kepada senario luaran yang tidak menentu dan lemah," kata perdana menteri.

Sementara itu, Najib berkata pelancaran Hotel St Regis Langkawi merupakan satu projek ikonik untuk memacu bidang pelancongan negara dan menjana pendapatan segera selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Dengan kesan berganda yang besar, kita mesti memberi dorongan kuat untuk pembangunan sektor pelancongan negara,” katanya sambil menambah bahawa projek itu adalah di bawah Kementerian Kewangan menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan.