RM 12 juta tidak dibayar kepada Abu Sayyaf, disalur kepada badan kebajikan

Kerajaan menafikan telah membayar wang pampasan kepada pengganas Abu Sayyaf bagi membebaskan empat mangsa culik, sebaliknya memberitahu RM12 juta yang dikumpul ahli keluarga mangsa itu telah disalurkan kepada badan kebajikan dan organisasi di Filipina.

RM 12 juta tidak dibayar kepada Abu Sayyaf, disalur kepada badan kebajikan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan wang tebusan daripada penculik.

“Jumlah wang sebanyak RM12 juta itu diberikan kepada polis tetapi bukan untuk membayar wang tebusan.

“Kerajaan telah memutuskan untuk tidak membayar wang tebusan tersebut dan polis telah mematuhi arahan kerajaan.

“Saya mengesahkan wang itu tidak patut dibayar sebagai wang tebusan sebaliknya disalurkan kepada organisasi tertentu di Filipina untuk membantu perjuangan yang direstui undang-undang dan agama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Zahid bagaimanapun menegaskan organisasi itu tiada kaitan dengan pengganas atau kumpulan penjenayah.

“Kami tidak boleh mendedahkan agensi-agensi itu kerana ia adalah urusan polis,” katanya.

Jelasnya, beliau akan meminta polis mendedahkan butiran berkenaan kepada umum pada masa yang sesuai.

Semalam, Datuk Lau Cheng Kiong, bapa saudara kepada mangsa culik termuda, Johnny Lau Jung Hien dan wakil keluarga empat tebusan itu mendedahkan, wang derma sebanyak RM12 juta terdiri daripada pajakan dua rumah keluarga mangsa berjumlah RM1 juta, sumbangan orang ramai sebanyak RM9 juta dan RM2 juta lagi daripada syarikat perkapalan empat tebusan itu.

China Press pula melaporkan kira-kira RM18 juta dibelanjakan secara keseluruhan untuk membebaskan empat pemuda dari Sibu itu, termasuk kos rundingan dengan penculik yang dibiayai ahli korporat.

Media sebelum ini melaporkan wang tebusan yang diminta penculik adalah 300 juta peso (RM30 juta), sebelum dikurangkan kepada 180 juta peso (RM18 juta).

Adik-beradik, Wong Teck Kang, 31, dan Teck Chii, 29, bersama sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan rakan sekerja, Wong Hung Sing, 34, telah diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu sebelum dibebaskan pada 8 Jun lalu.