Polis tahan lelaki beli motosikal Johan Raja Lawak

Polis telah menahan seorang lelaki dipercayai membeli motosikal milik pelakon dan pelawak, Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz, atau lebih dikenali Johan Raja Lawak. Motosikal itu dilaporkan telah dicuri di tempat parkir motosikal berhampiran Padang Bola Sepak Akademi Kuala Lumpur di sini, Selasa lalu.

Polis tahan lelaki beli motosikal Johan Raja Lawak

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, lelaki itu yang berusia 30 tahun telah ditahan di hadapan sebuah restoran di Desa Melawati, Wangsa Maju kira-kira jam 3.15 pagi, kelmarin.

Menurutnya, hasil semakan dapati motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna hitam itu mempunyai rekod hilang di daerah Wangsa Maju.



“Kita telah buat semakan dan dapati lelaki tersebut tidak mempunyai rekod lampau selain negatif dadah.

“Lelaki itu direman selama tiga bagi membantu siasatan,” katanya.

Selasa lalu, pelawak terkenal yang berusia 31 tahun itu menyedari motosikalnya yang diletakkan dalam keadaan berkunci hilang di lokasi kejadian kira-kira jam 11 malam.

Mohamad Roy berkata, Johan telah membuat laporan di Balai Polis Hulu Kelang keesokan harinya selepas usaha mencari di kawasan sekitar gagal.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.