Pesawat MH1 bergegar, penumpang dan anak kapal cedera

Beberapa penumpang dan anak kapal pesawat MH1 cedera selepas pesawat yang dalam perjalanan pulang dari London, Britain ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) tersebut mengalami gegaran kuat ketika cuaca buruk di Teluk Bengal berhampiran Lautan India petang tadi.

Pesawat MH1 bergegar, penumpang dan anak kapal cedera

Dalam satu kenyataan yang dibuat, Malaysia Airlines Berhad (MAB) berkata penumpang dan anak kapal yang mengalami kecederaan telah dirawat sejurus pesawat Airbas A380 itu selamat mendarat di KLIA.



"Pegawai perubatan dan pengurusan kanan MAB telah menyambut ketibaan pesawat di KLIA. Sebilangan kecil penumpang dan anak kapal yang cedera telah dirawat oleh pegawai perubatan.

"Sejumlah 378 penumpang serta anak kapal MH1 telah diberikan bantuan sewajarnya dan kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku disebabkan cuaca yang di luar kawalan kami," katanya.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku anak kapal pesawat sedang menyediakan makanan kepada para penumpang.

Para penumpang yang tidak memakai tali pinggang tercampak dari tempat duduk dan terhantuk di bahagian atas pesawat akibat daripada gegaran tersebut .

Makanan yang dihidangkan pula bertaburan dalam pesawat tersebut.

Penumpang dan anak kapal yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.