Pembantu Penyelidik MPOB didakwa terima rasuah

Seorang pembantu penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) didakwa menerima rasuah. Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Seremban, hari ini terhadap pertuduhan menawar dan memberi suapan wang tunai RM60,000, tiga tahun lalu.

Pembantu Penyelidik MPOB didakwa terima rasuah

Mohd Azhar Mohd Arif, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Azhar didakwa telah menawarkan suapan wang tunai bernilai RM50,000 kepada seorang penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai balasan untuk menutup dan menyelesaikan siasatan ke atas dirinya yang berkaitan dengan pengesahan palsu dalam Borang Pemeriksaan Kebun MPOB dan penyelewengan Skim Tanaman Semula Sawit di Felda Raja Alias, Jempol.



Mohd Azhar dituduh melakukan kesalahan itu di Hotel The Royale Bintang Resort & Spa, Seremban di antara 29 Mei 2013 dan 19 Jun 2013.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Azhar didakwa memberi suapan wang tunai RM10,000 kepada penguasa itu bagi tujuan yang sama di tempat sama pada 4.15 petang, 19 Jun 2013.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi mencadangkan agar mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Eddin Syazlee Shith memohon wang jaminan minimum dikenakan kerana perlu menanggung isteri dan seorang anak, selain tidak mampu membayar wang jaminan yang tinggi.

Hakim Fathiyah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Julai ini.