Menteri Besar Kedah Dipindahkan Ke Hospital Pulau Pinang

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mengalami komplikasi usus dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) petang tadi untuk proses pemantauan berterusan.

Menteri Besar Kedah Dipindahkan Ke Hospital Pulau Pinang

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin bahawa Menteri Besar dipindahkan ke HPP dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Kedah Medical Center (KMC).

Beliau berkata, Ahmad Bashah dipindahkan ke HPP kerana pihaknya difahamkan HPP mempunyai kelengkapan lebih terkini serta lengkap, selain membolehkan Menteri Besar dirawat pakar yang lebih khusus.

"Keadaan beliau baik serta amat positif. Saya mohon agar pihak tertentu tidak buat sebarang spekulasi liar mengenai status kesihatan MB (Menteri Besar) dan media juga perlu menerima perkembangan daripada saluran rasmi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar sahaja," katanya.

Sementara itu, sumber Pejabat Menteri Besar ketika dihubungi, berkata Ahmad Bashah dipindahkan dari KMC di sini, menggunakan ambulans jam 2.30 petang dan tiba di HPP kira-kira sejam kemudian.

"Pemindahan beliau ke HPP adalah atas persetujuan keluarga dan Pejabat Menteri Besar untuk kemudahan dan rawatan yang lebih baik...keadaan MB ok dan beliau juga sedar, malah beliau berjalan sendiri ke ambulans," katanya sekali gus menafikan khabar angin mengatakan Ahmad Bashah tidak sedar dan lemah.

Sabtu lalu, Ahmad Bashah telah dikejarkan ke KMC selepas mengadu tidak selesa ketika menghadiri mesyuarat di Hotel Grand Alora di Mergong, di sini, sebelum disahkan mengalami komplikasi usus.

Susulan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din, memaklumkan Ahmad Bashah akan berehat bagi suatu tempoh tertentu sehingga pulih, sebelum memulakan tugasnya semula.