Kes dera bayi, taska diarah tutup sementara

Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Presint 15 di sini yang terlibat dalam kes dera bayi berusia empat bulan yang viral di media sosial baru-baru ini diarah tutup sementara bermula Isnin ini sehingga ia berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kes dera bayi, taska diarah tutup sementara

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, JKM telah membuat siasatan terhadap Taska terbabit Rabu lepas dan mengeluarkan surat peringatan untuk Taska itu didaftarkan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh tersebut.



"Sekiranya ia gagal untuk mengemukakan dokumen yang diperlukann dalam tempoh yang diberikan, Taska berkenaan boleh dikunci," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rohani turut berkata, beliau berasa amat terkejut, sedih dan kecewa dengan kejadian yang menimpa bayi tersebut.

Katanya, kes itu telah disiasat oleh Pegawai Penyiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan berlaku penganiayaan terhadap bayi.