Kerajaan belum putuskan imbuhan penjawat awam menjelang Aidilfitri

Kerajaan belum membuat keputusan berhubung imbuhan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebagai persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri awal Julai depan.

Kerajaan belum putuskan imbuhan penjawat awam menjelang Aidilfitri

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, sebelum membuat keputusan mengenainya, kerajaan perlu meneliti pelbagai aspek terutama kedudukan kewangan .

"Sehingga hari ini masih belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung pemberian imbuhan kepada kakitangan awam dan pesara," katanya kepada pemberita pada majlis Program Transformasi Komuniti Bergerak Orang Kampung Selising yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Selising, Zulkifli Ali di sini, hari ini.



Khamis lepas Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyatakan hasrat untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan pemberian bonus raya sebulan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam menjelang Aidilfitri ini.

Mohd. Irwan berkata, ianya terserah kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak untuk memberi imbuhan itu berasaskan kemampuan kewangan kerajaan.