Kadar zakat fitrah Selangor kekal RM7

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa memaklumkan kadar zakat fitrah untuk umat Islam di Selangor pada tahun ini kekal pada kadar RM7.



Kadar zakat fitrah Selangor kekal RM7 Beliau berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan agar kadar itu dikekalkan sama seperti tahun sebelumnya.

Katanya, seramai 2,569 ketua dan penolong amil fitrah telah dilantik di seluruh Selangor pada bulan Ramadan ini dan pihaknya turut membuka kaunter di beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang.



"Pada tahun ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM22.5 juta daripada umat Islam di negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LZS turut menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi.

Ia terbuka kepada pelanggan prabayar dan pasca bayar Digi di mana nilai bayaran zakat fitrah akan dicaj pada bil atau ditolak daripada nilai kredit.

LZS juga membuka 28 cawangannya di seluruh negeri, tujuh hari seminggu dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja dan dari pukul 9 pagi hingga 3 petang pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.