Jenazah menantu TPM selamat dikebumikan, kerajaan siasat punca kematian mengejut

Jenazah menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang sebentar tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut tiba di Surau An-Nur, Country Heights Kajang pagi tadi bagi menziarahi jenazah menantu Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang meninggal dunia malam tadi ketika menjalani rawatan di sebuah klinik pergigian di Bangsar.

Najib yang tiba sekitar jam 8.30 pagi bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut menunaikan solat jenazah, lapor Berita Harian.

Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman sosial Instagramnya telah memuat naik sekeping foto meluahkan ucapan terima kasih atas kunjungan Najib.

Jenazah menantu TPM selamat dikebumikan, kerajaan siasat punca kematian mengejut

“YAB PM DS @Najib_Razak tiba ziarahi jenazah menantu saya Allahyarham Syed Alman Zain di Surau An Nur, Country Heights (Kajang) pagi tadi. Terima kasih YAB DS,” tulis Ahmad Zahid dalam entri tersebut.

Allahyarham Syed Alman Zain, 44, suami kepada anak sulung TPM, Datuk Nurulhidayah, 37, dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam selepas tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan di sebuah klinik pergigian, sebelum disahkan meninggal dunia.

Ahmad Zahid yang baharu sahaja tiba di tanah air selepas melakukan lawatan kerja ke Jepun dalam entri yang sama turut memaklumkan jenazah menantunya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang sebentar tadi.

Jenazah menantu zahid hamidi selamat dikebumikan

“Semoga anakanda akan ditempatkan bersama para kekasih Allah di alam sana,” tulisnya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebentar tadi memaklumkan bahawa kerajaan akan menjalankan satu siasatan penuh ke atas kematian mengejut Syed Alman selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan pergigian.

"Kami akan menyiasat apa yang berlaku," kata Subra.