Ibu Negara dilanda hujan batu

Beberapa kawasan di ibu negara dilanda hujan batu yang jarang berlaku serta banjir kilat petang tadi.

Ibu Negara dilanda hujan batu

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu dilaporkan telah menyebabkan trafik sesak selain beberapa bangunan dan rumah kediaman di ibu negara mengalami kerosakan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut melaporkan menerima aduan sebanyak 35 kes pokok tumbang di sekitar ibu kota.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mustafa Mohd Nor berkata skuad penyelamat dan tren tunda telah dikerah bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.



Selain itu beberapa jalan utama iaitu Jalan Duta, Jalan Bangsar, Jalan Pantai Baru dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 arah Tasik Bandar Selatan, Jalan Genting Klang dan Taman Melati, Gombak turut dilapor terjejas.

Menurutnya lagi seramai 82 anggota pasukan Skuad Penyelamat DBKL telah dikerah ke semua lokasi tumpuan yang terjejas akibat banjir kilat.

“Daripada jumlah itu, 50 petugas trafik diarah mengawal keadaan trafik, 20 lagi menyelamat mangsa yang terkandas manakala 12 anggota yang lain ditugas mengendali kren tunda,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata terdapat kejadian tiang elektrik tumbang di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke Bukit Jalil sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kerja-kerja mengalihkan tiang itu sedang dijalankan dan kawalan trafik dilakukan pihak polis.