1,263 Penyelia Kemas naik gred mulai Julai

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kenaikan gred untuk 1,263 penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini.

1,263 Penyelia Kemas naik gred mulai Julai

Kenaikan gred ini melibatkan seorang Ketua Penyelia Kanan Kemas Negeri yang dinaikkan gred daripada S27 kepada S32; 178 penyelia kanan (S22 ke S27); 164 penyelia pra sekolah (S17 ke S27) dan 920 penyelia pelbagai jurusan (S17 ke S22).

Najib, yang menerima tepukan gemuruh ketika mengumumkan berita gembira itu pada Perhimpunan Perdana Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat bersempena Hari Pendidik 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang di sini hari ini, berharap penambahbaikan itu dapat meningkatkan komitmen warga Kemas untuk kejayaan negara.

"Mudah-mudahan dengan pengumuman kenaikan gred ini sebagai proses penambahbaikan secara berterusan, ia diharap akan memberi nafas baharu kepada warga Kemas untuk menjadi lebih produktif dan daya juang serta lebih komited menonggak kejayaan negara," katanya.

Pada majlis itu juga Najib merakam penghargaan atas sumbangan anggota Kemas terutama di kawasan pedalaman.