Warga emas maut dihempap papan iklan



Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap sebuah papan iklan ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Jalan Pokok Mangga menghala ke Klebang, Melaka pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata mangsa, Ahmad Yusop Omar, 64, seorang pengawal keselamatan dari Taman Tangga Batu di sini meninggal dunia di tempat kejadian, dalam kejadian 7.15 pagi itu.

“Sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal dari arah lampu isyarat Jalan Limbongan menghala ke Dataran 1Malaysia berhenti di lampu isyarat di persimpangan Jalan Pokok Mangga kerana lampu merah, sebelum papan iklan berada di bahu kiri jalan tiba-tiba jatuh dan menghempap mangsa.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian hujan lebat. Papan iklan tersebut adalah di bawah penyeliaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan punca kejadian masih dalam siasatan.