Warga emas dirompak RM100,000 di persimpangan lampu isyarat



Dua individu tidak dikenali telah melarikan wang tunai kira-kira RM100,000 milik wanita warga emas di lampu isyarat berhampiran Plaza Wawasan, Kota Kinabalu di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, dua suspek lelaki yang menaiki motosikal bertindak memecahkan cermin pintu penumpang sebelah pemandu (mangsa) sebelum melarikan sampul surat putih berisi wang tunai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisiner M Chandra berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 60 tahun itu mengeluarkan wang tunai berkenaan di sebuah bank di Api Api Centre.

Disyorkan:4 penyamun Kajang Putrajaya mati ditembak, seorang terlepas

"Kemudian mangsa menyimpan wang itu di dalam sampul surat putih sebelum menaiki kenderaan.

"Bagaimanapun, ketika mangsa menghentikan kenderaan di lampu isyarat, suspek dikatakan memecahkan cermin kenderaan serta melarikan wang mangsa," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.