Virus Zika sudah hampir dengan Malaysia

virus Zika

Rakyat Malaysia kini berhadapan risiko dijangkiti virus zika apabila virus tersebut kini hanya dipisahkan oleh Tambak Johor setelah seorang rakyat Si­ngapura disahkan menghidap wabak itu kelmarin.

Kementerian Kesihatan negara tersebut berkata, seorang lelaki warganegara asing berusia 48 tahun yang merupakan penduduk tetap Singapura itu telah mengunjungi Sao Paolo, Brazil selama lebih sebulan antara 27 Mac hingga 7 Mei lalu.

Dia telah dimasukkan ke hospital setelah mengalami demam dan ruam sejak 10 Mei lalu dan kini sedang diasingkan, kata kementerian itu dalam satu kenyataan bersama Agensi Alam Sekitar Kebangsaan.

“Pesakit itu disahkan positif zika pada 13 Mei,” kata kenyataan itu sambil menambah pesakit terbabit akan dipindahkan ke Pusat Penyakit Berjangkit di hospital kerajaan, Hospital Tan Tock Seng.

Tambah kenyataan tersebut, lelaki itu yang tinggal di Jalan Watten Estate itu akan diasingkan ketika menjalani rawatan bagi mengelakkan dia digigit nyamuk dan menyebarkan jangkitan kepada orang ramai.