Ular sawa makan anak kucing



Seorang pengawal keselamatan di Telekom Jasin cemas apabila melihat seekor ular sawa sebesar tiang elektrik menelan seekor anak kucing pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Bellsobri Mohamed, 40, yang sedang membuat rondaan di sekitar premis menemui seekor ular sawa yang dilihat di dalam longkang kemudian masuk ke dalam sebuah lubang.

"Saya nampak ular itu dari pagar telah menelan seekor kucing kemudian masuk ke dalam sebuah lubang dalam tanah.

"Saya berasa tak sedap hati...sebab ular sawa itu sebesar tiang elektrik...ia akan membahayakan orang ramai. Jadi, saya terus hubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Jasin untuk tindakan," katanya.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) negeri, Effendy Ali berkata, ular sawa sepanjang 15 kaki dan berat dianggarkan 20 kilogram itu dijumpai di hadapan pintu masuk pagar Telekom Jasin.

"Pengawal keselamatan di situ menjumpai seekor ular sawa berhampiran pagar pintu masuk premis.

"Ular sawa tersebut telah menelan seekor kucing dan masuk ke dalam lubang yang terbelit di akar pokok," katanya.

Menurutnya, anggota JPAM terpaksa mengali lubang bagi mengeluarkan ular tersebut.