Ular dalam dewan sekolah



Warga Sekolah Kebangsaan Senai gempar selepas seekor ular tedung sepanjang kira-kira 1.4 meter ditemui dalam dewan sekolah berkenaan, pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan berhubung kes berkenaan pada 7.58 pagi sebelum sebuah jentera bersama pegawai dan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra Kulai bergegas ke tempat kejadian.

"Jentera sampai ke lokasi pada jam 8.33 pagi dan ular hitam di dewan sekolah berkenaan berjaya ditangkap menggunakan penjerut tanpa ada kecederaan terhadap sesiapa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, difahamkan ketika kejadian terdapat tiga orang murid dan seorang guru di dalam dewan berkenaan sebelum salah seorang daripada murid berkenaan menyedari kehadiran reptilia terbabit.

Menurut sumber yang enggan dikenali, sekolah berkenaan baru sahaja memulakan sesi persekolahan dan semua murid yang berada berhampiran diarahkan berkumpul di kantin sekolah.