UiTM Kelantan bakal latih banduan

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan bakal melatih banduan hasil kerjasama dengan Jabatan Penjara. UiTM akan melatih banduan dalam bidang tenunan songket dan batik.

UiTM Kelantan bakal latih banduan

Rektornya, Dr Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan berkata, pihaknya sudah mengenalpasti dua penjara, malah perbincangan juga sudah dibuat.

Katanya, latihan yang bertujuan mengembalikan kegemilangan kedua-dua seni warisan Kelantan itu bakal melibatkan banduan yang tamat tempoh tahanan.

“Kerjasama ini akan melibatkan Pusat Pemulihan Akhlak Machang dan Penjara Pengkalan Chepa. Kita sudah mengadakan beberapa perbincangan di peringkat pengurusan kedua-dua penjara berkenaan,” katanya pada Majlis Minggu Destini Siswa di Kampus UiTM Cawangan Kelantan, kelmarin.

Dalam majlis itu, kira-kira 1,000 penuntut mendaftar bagi mengikuti pengajian diploma pengurusan perniagaan, perakaunan, pengurusan maklumat, seni lukis dan seni reka, pentadbiran awam serta sains komputer dan matematik bagi sesi Jun hingga Oktober tahun ini.

Mengulas lanjut, Tuan Mohd Rosli berkata, program itu juga bertujuan membantu bekas banduan untuk hidup berdikari, menggalakkan industri pelancongan dan mengembalikan kegemilangan seni warisan Melayu.

Selain itu katanya, UiTM Kelantan juga akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sains Malaysia untuk berkongsi kemahiran dalam bidang tertentu, termasuk keusahawanan.