Tuntutan Filipina tidak relevan, Sabah setia pada Bendera Malaysia



"Sabah tidak pernah mengiktiraf atau mengakui tuntutan oleh Filipina atau mana-mana pihak lain ke atas negeri ini," kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman hari ini.

"Biar saya jelaskan, Sabah selesa berada dalam Malaysia dan memilih untuk kekal dalam Persekutuan Malaysia dan akan terus menjadi sebahagian daripada negara yang berdaulat ini sejak dari penubuhannya," kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas hasrat calon Presiden Filipina, Rodrigo Duterte untuk meneruskan tuntutan negara itu ke atas Sabah.

Musa berkata penduduk di Sabah telah menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi dalam Malaysia.

"Kesetiaan kami ialah kepada bendera Malaysia. Tuntutan Filipina adalah tidak relevan," kata beliau.