Tun Mohd Khalil angkat sumpah jawatan Yang DiPertua Negeri Melaka



Tun Mohd Khalil Yaakob hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal keempat dalam istiadat di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Dengan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Mohd Khalil kemudiannya menandatangani watikah jawatan tersebut.

Istiadat itu turut dihadiri isteri Mohd Khalil iaitu Toh Puan Zurina Kassim, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Anggota Dewan Negara Tan Sri Mohd Ali Rustam, barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Melaka.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal keempat kepada Mohd Khalil.

Mohd Khalil, 78, sebelum ini dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang keenam pada 2 Jun 2004 dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004 bagi menggantikan Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu juga pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet iaitu sebagai Timbalan Menteri Pendidikan (1982-1984), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1984-1986) dan Menteri Penerangan (1999-2004) selain menyandang jawatan Menteri Besar Pahang kelapan selama 13 tahun dari 1986 hingga 1999.