Tun M berkongsi pentas dengan pembangkang



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi berkongsi pentas dengan pakatan pembangkang apabila beliau hadir untuk menyampaikan syarahan anjuran Penang Institute di Pusat Konvensyen Straits Quay, di sini hari ini.

Tun Mahathir hadir dengan ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba di Pusat Konvensyen Straits Quay pada 4.30 petang dan diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta beberapa wakil rakyat DAP dan PKR Pulau Pinang.

Beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk 'Quo Vadis Malaysia? Ke manakah Hala Tuju Malaysia' selama satu jam di hadapan lebih 1,000 orang yang hadir.

Pada 9 April lepas, Tun Mahathir telah menghadiri Malam Anugerah Pembangunan Usahawan Malaysia yang turut dihadiri ketua menteri Pulau Pinang.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar, Tun Mahathir menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sarawak adalah hasil daripada pandangan rakyat negeri itu terhadap kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak.

Tun Mahathir juga telah menghadiri Majlis Bersama Pemimpin di Dewan Millenium, Kepala Batas pada 8.45 malam semalam yang turut dihadiri Lim dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pemimpin pakatan pembangkang. - Bernama