Terselamat : Shabery sepatutnya naik helikopter dengan Noriah



Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sepatutnya menaiki helikopter yang dilaporkan hilang petang semalam bersama-sama Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon

Namun menurut beliau, beliau telah diminta menaiki helikopter lain bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang pada saat-saat akhir.

Katanya, Tan Sri ALfred Jabu meminta beliau untuk menyertainya menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Bukit Saban dengan menaiki helikopter berbeza sebelum pulang ke Kuching.

Sementara helikopter yang hilang itu pula berlepas ke Spaoh untuk mengambil Datuk Noriah Kasnon bersama beberapa pegawai kanan kementerian berkenaan.

“Ketika itu hujan lebat dan selepas berhenti, beliau (Jabu) menaiki helikopter berkenaan di Bukit Saban, Betong manakala helikopter yang lagi satu (yang hilang) pula terus berlepas ke Spaoh untuk mengambil Noriah.

“Tidak lama selepas kami berlepas, keadaan cuaca kembali buruk dan menyebabkan helikopter yang kami naiki mengalami gangguan beberapa kali," katanya.

Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu dilaporkan berlepas dari Betong pada jam 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.

Setakat ini beberapa serpihan helikopter telah ditemui berdekatan Sungai Batang Lupar dan mayat wanita ditemui di sekitar kawasan tersebut kira-kira jam 12 tengah hari tadi.