Tarik kereta, jumpa mayat



Satu mayat masih belum dikenal pasti identiti ditemui di dalam sebuah kereta mewah yang ditarik keluar dari Tasik Puchong, Taman Maju Jaya, petang tadi.

Difahamkan Kereta itu terjunam ke dalam tasik berkenaan sejak lima hari lalu sebelum ditemui oleh pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak polis yang meminta bantuan bagi mengeluarkan kereta terbabit dari tasik.

Katanya, sebaik ditarik keluar, pihaknya mendapati terdapat satu mayat yang mula mereput di dalam kenderaan berkenaan.

"Kereta terbabit dikeluarkan dari tasik berkenaan pada jam 4.40 petang dan identiti mangsa gagal dikenal pasti.

"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,"katanya ketika dihubungi, hari ini.