Tak perlu bergadai untuk dapat tajaan - Khairy



Pihak penaja diingatkan untuk tidak meletakkan syarat di luar kemampuan persatuan bola sepak negeri, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata penaja perlu meletakkan syarat yang mampu dilaksanakan persatuan bola sepak negeri yang akhirnya akan memberi pulangan seimbang kepada kedua-dua pihak.

“Saya nasihatkan kepada persatuan bola sepak negeri agar semak terma perjanjian terlebih dulu agar tidak berat sebelah dan memberikan pulangan adil kepada kedua-dua belah pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Kedah di sini, semalam.

Khairy juga berkata, pihak penaja sepatutnya tidak boleh mengaitkan kerajaan negeri berhubung isu penajaan kerana persatuan bola sepak negeri dan kerajaan negeri adalah entiti berbeza.

Tambah beliau lagi, pihak penaja juga tidak perlu meletakkan syarat tambahan selepas perjanjian ditandatangani kerana persatuan bola sepak perlu melaksanakan syarat yang ditetapkan mengikut perjanjian.

[ARTIKEL BERKAITAN : Hentikan isu tajaan atau ambil tindakan lanjut]

Khairy berkata, setiap penajaan adalah amat baik kepada persatuan bola sepak negeri dalam meningkatkan mutu sukan itu tetapi ia tidak perlu hingga menggadaikan sesuatu demi untuk mendapatkan penajaan.

Beliau berkata, seharusnya penaja tidak patut mencampuri urusan persatuan bola sepak negeri dengan memegang jawatan tertentu yang boleh menjejaskan pengurusan sesuatu pasukan.

“Saya tak pernah dengar sebelum ini ada penaja campur tangan dalam hal pengurusan pasukan bola sepak negeri walaupun di kelab bola sepak luar negara,” katanya.

Katanya, beliau akan membawa perkara ini dalam mesyuarat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu depan bagi membolehkan semua persatuan dan kelab bola sepak berhati-hati dengan syarat penaja agar tidak timbul pelbagai isu pada masa depan.

Mengulas mengenai tindakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang menolak penajaan Syarikat D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Khairy berkata tindakan KFA adalah tepat selepas persatuan itu tidak dapat memenuhi permintaan daripada penaja.