Suami isteri dalang kes samun



sepasang suami isteri yang masih remaja dipercayai dalang samun berkumpulan antara lima yang ditahan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jasin Rabu lalu.

Kumpulan samun yang digelar "Geng Couple" itu ditahan di dua lokasi berlainan dalam dua siri tangkapan berasingan di Merlimau dan Serkam, di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Sampornak Ismail berkata, kejayaan tangkapan itu adalah hasil daripada penubuhan Task Force Op Samun bagi menyelesaikan beberapa kes samun pada Mac lalu.

Menurutnya, kes samun pertama membabitkan dua beradik lelaki warga emas di Merlimau manakala dua lagi kes membabitkan kes samun ke atas lelaki warga asing.

"Hasil dari maklumat yang diperoleh daripada siasatan pasukan Task Force membawa kepada tangkapan pertama berdekatan asrama pekerja kilang telur ayam di Merlimau iaitu sepasang suami isteri masing-masing berumur 17 dan 16 tahun pada 1.30 tengah hari.

"Manakala tangkapan kedua pula adalah tiga lelaki berusia 22, 21 dan 15 tahun di kawasan lain di Merlimau dan Serkam beberapa jam kemudian," katanya dalam sidang media di IPD Jasin, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil tangkapan itu pihaknya telah merampas 2 motosikal, sembilan telefon bimbit, parang dan pisau serta anak kunci.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana bersenjata.