Stesen LRT kecoh, beg disangka ada bom



Stesen LRT Pasar Seni kecoh apabila seorang lelaki membiarkan begnya tanpa pengawasan dan disangka mengandungi bom oleh orang ramai.

Insiden yang berlaku pukul 11.24 pagi kelmarin, mengakibatkan penumpang LRT panik sehingga memaksa penutupan sementara stesen itu selama kira-kira 20 minit.

Jurucakap Rapid KL Lim Jin Aun dalam kenyataannya berkata seorang lelaki separuh umur merantai beg yang berwarna hitam di besi platform dengan mangga kunci, sebelum meninggalkannya di sana.

"Beg itu dikesan oleh seorang petugas stesen yang kemudian memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi (OCC) di Depoh Subang.

"Enggan mengambil risiko, OCC kemudian menghubungi pihak polis sebelum mengarahkan stesen itu ditutup sehingga unit pemusnah bom membuat pemeriksaan," katanya.

Berikutan kes itu, Lim berkata tren LRT dari kedua-dua arah tidak berhenti di stesen berkenaan.

Menurutya lelaki yang mendakwa pemilik beg berkenaan, tiba semula di situ ketika polis dan anggota unit pemusnah bom mahu melakukan pemeriksaan ke atas beg itu.

"Lelaki itu membuka beg tersebut atas arahan polis dan unit pemusnah bom dan didapati hanya mengandungi barangan peribadinya," katanya.

Lim berkata bagaimanapun lelaki itu ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Berikutan itu, Lim menasihatkan pengguna LRT supaya tidak meninggalkan beg atau barangan mereka tanpa pengawasan ketika berada di stesen LRT, monorel dan terminal bas kerana ia boleh menyusahkan pengguna lain dan pihak berkuasa.

"Ia juga adalah satu kesalahan merantai barangan anda di besi platform di stesen. Tindakan boleh diambil terhadap anda," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah yang dihubungi mengesahkan insiden tersebut.