Sorok kereta curi belakang rumah



Tindakan seorang lelaki menyorokkan sebuah kenderaan yang dicuri di belakang rumahnya tidak berhasil apabila dia ditahan polis Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, tangkapan dilakukan dalam Ops Bersepadu Khas oleh sepasukan empat anggota diketuai Ketua Polis Balai Kuala Sedili, Sarjan Mejar Md Tawal Abd Manap.

Menurutnya, pasukan itu bertindak atas maklumat yang diperolehi lantas melakukan serbuan kira-kira jam 5.15 petang di sebuah rumah dekat Kampung Gembut, Tanjung Sedili.

"Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga merupakan tuan rumah telah ditahan. Pemeriksaan yang di buat di bahagian belakang rumah itu turut menjumpai sebuah kereta jenis Isuzu berwarna hitam.

"Hasil semakan yang dibuat mendapati kenderaan tersebut masih dilaporkan hilang pada 25 April lalu di Pasir Gudang dan kes tersebut disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya semalam.

Rahmat berkata, suspek tersebut adalah penduduk tempatan dan pernah ditahan bersabit kes penagihan dadah.

"Suspek juga dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal di kawasan Kampung Gembut, Kuala Sedili. Kini, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek," katanya lagi.