Saya yang sebenarnya ditumbuk, kata Dato Azmi

"Saya yang sebenarnya ditumbuk ketika cuba leraikan keadaan, tetapi saya pula yang dituduh," ujar Dato Azmi berkenaan isu viral yang mengaitkan dirinya dalam satu insiden pergaduhan di jalan raya.

Beberapa hari lalu, satu rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan pergelutan seorang lelaki bersama tiga individu lain dengan salah seorangnya ialah Azmi viral meluas di media sosial.

Dato Azmi Che Husain

Menjelaskan perkara sebenar yang berlaku, Azmi berkata, sebelum kejadian itu berlaku, pemuda yang mendakwa dipukul itu menunjukkan isyarat tidak elok kepada anaknya yang sedang memandu.

Menurutnya, lelaki itu seolah-olah melakukan provokasi dan kemudiannya bertindak memaki hamun anaknya.



“Ketika kejadian itu saya dalam kereta dengan dua lagi anak lelaki. Bila kejadian macam tu berlaku, saya turun kereta dan tanya kenapa dia buat begitu kepada anak saya.

“Namun bila disoal, dia terus memaki hamun saya. Salam yang diberi sebelum itu pun tidak dijawabnya,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Adun Bayu berkata, lelaki itu kemudian bertindak lebih agresif apabila keluar dari kereta dan menendangnya sehingga terjatuh.

“Dua anak yang ketika itu berada dalam kereta terus keluar untuk mempertahankan saya dari terus dipukul. Siapa yang sanggup tengok ayah mereka dipukul depan mata.

“Jadi berlaku pergelutan antara mereka bertiga, saya yang berada di situ cuba meleraikan pergaduhan, tetapi saya ditumbuk oleh lelaki itu,” katanya.

Menurut Azmi lagi, lelaki berkenaan juga dilihat cuba memutar belitkan kejadian sebenar apabila menuduh beliau dan anak-anaknya menumbuk teman wanitanya di bahagian dada, tangan kanan dan kiri.

Menurutnya, perkara itu langsung tidak berlaku seperti didakwa, sebaliknya wanita itu mengalami kecederaan apabila ditolak masuk ke dalam kereta oleh pemuda tersebut.

“Saya dan anak-anak langsung tidak sentuh wanita itu, tetapi bila dia keluar dari kereta untuk leraikan pergelutan, dia pula yang ditarik dan ditolak masuk ke dalam kereta oleh lelaki berkenaan.

“Jika ada pihak yang masih ragu-ragu dengan tuduhan ini, sila berikan bukti segera bahawa wanita itu benar-benar ditumbuk,” katanya.

Azmi mendakwa, insiden pergaduhan yang diviralkan itu adalah hasil agenda dan perancangan pihak tertentu bagi mencalarkan imej politiknya.

Tidak berniat untuk mendedahkan siapa pelakunya, namun beliau mengakui mengenali individu yang cuba memburuk-burukkan imejnya dengan merancang insiden berkenaan.

“Kejadian itu berlaku siap dengan rakaman dari kamera, seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“ALLAH akan bersama orang yang benar, saya yakin dengan janji-NYA,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia serahkan kes berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

“Selepas difitnah begini, saya juga akan membuat laporan polis, sebelum ini kes ini tidak dilaporkan kerana saya hanya meleraikan keadaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin yang ditemubual berkata, pengadu membuat laporan polis pada hari kejadian dan tidak mengenali Adun itu sehingga kes tersebut menjadi viral dalam laman sosial.

Mohd Rozi berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.