Satu jam tinggal anak dalam kereta



Seorang wanita yang terlalu teruja untuk bertemu ahli keluarganya hampir membawa padah apabila dia terlupa anaknya yang berusia dua tahun ditinggalkan dalam kereta dan terperangkap hampir sejam dalam kejadian di Taman Iskandar Perdana, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 petang itu, wanita berusia 30an itu, hanya menyedari ketiadaan anak perempuannya selepas sejam keluar dari kenderaan itu.

Difahamkan, wanita itu datang ke taman berkenaan untuk menziarahi ahli keluarganya yang tinggal di situ.

Kunci keretanya ditinggalkan dalam kereta menyebabkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina itu terkunci secara automatik.

Khidmat anggota bomba dipanggil untuk membantu apabila keluarganya melihat keadaan kanak-kanak itu yang menangis dan berpeluh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Zaiful Effendi Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengatakan ada kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan.

“Melihat keadaan kanak-kanak itu sudah menangis dan berpeluh-peluh, selain sedikit lemah, anggota kami meminta keizinan wanita itu untuk memecahkan cermin belakang bahagian penumpang.

“Kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada ibunya untuk ditenangkan,” katanya.

Seramai lima anggota diketuai Pegawai Bomba Ahmad Roszairil ditugaskan dalam kejadian itu.

Zaiful Effendi berkata, berdasarkan keterangan, ketika kejadian kanak-kanak itu mungkin sedang tidur di tempat duduk belakang menyebabkan ibunya terlupa anaknya berada dalam kenderaan itu.