Purata gaji lelaki lebih tinggi dari wanita?



Purata gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia meningkat 5.3% dari RM2,193 kepada RM2,312 pada 2015 berbanding tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, purata gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia tahun lepas juga meningkat 6.5% setahun kepada RM1,600 berbanding RM1,500 pada 2014.

Menurutnya, statistik itu adalah hasil soal selidik Gaji dan Upah yang dijalankan jabatan itu setiap tahun melalui pendekatan isi rumah bagi mendapatkan maklumat gaji dan upah bulanan pekerja bergaji di sektor awam dan swasta daripada pekerjaan utama.

Kajian yang dijalankan secara persampelan berkebarangkalian itu juga mendapati purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki adalah RM2,345, lebih tinggi berbanding pekerja perempuan iaitu RM2,254.

Bagaimanapun, purata gaji dan upah bagi pekerja lelaki dan perempuan adalah sama iaitu RM1,600 dengan purata bagi pekerja lelaki meningkat 5.7% manakala bagi perempuan meningkat 6.5% berbanding tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, gaji dan upah bulanan pekerja berpendidikan tinggi adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada pekerja berpendidikan menengah pada 2014 dan 2015.

Pada 2015,purata gaji dan upah pekerja berpendidikan tinggi adalah RM3,100 berbanding menengah iaitu RM1,500.

Pekerja berpendidikan rendah pula mencatatkan penengah gaji dan upah RM1,100 dan purata RM1,224.

Sementara itu, penengah dan purata gaji dan upah bulanan pekerja di kawasan bandar adalah lebih tinggi berbanding luar bandar.

Bagaimanapun, dari segi pertumbuhan, penengah dan purata gaji dan upah di luar bandar adalah lebih tinggi berbanding di bandar.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat pada kadar 3.0% setahun kepada RM1,855, manakala penengah bagi pekerja di luar bandar tumbuh pada kadar 8.7% kepada RM1,200.

Purata gaji dan upah bulanan pekerja juga mencatat peningkatan iaitu 5.9% di bandar dan 6.1% di luar bandar.

Menurut jabatan itu lagi, pekerja bergaji yang direkodkan pada 2015 ialah seramai 10.2 juta orang.

Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah ialah penerbitan tahunan yang membentangkan indikator utama gaji dan upah iaitu penengah dan purata gaji serta upah bulanan mengikut ciri demografi dan sosioekonomi.

Ia termasuk jantina, kumpulan umur, pencapaian pendidikan, sijil tertinggi diperoleh, strata bandar dan luar bandar, negeri, pekerjaan serta industri.