PRN Sarawak : Tun M perlu terima kenyataan



Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan kemenangan besar BN di Sarawak sebagai bukti jelas bahawa rakyat menolak kempen anti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah tambahnya, kemenangan BN dalam merebut 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan adalah isyarat bahawa kepimpinan Najib di peringkat pusat diterima baik warga Bumi Kenyalang itu.

"Keputusan ini adalah bukti menunjukkan bahawa dakwaan bahawa PM perlu diturunkan bagi mengelak BN kalah dalam pilihan raya adalah tidak benar sama sekali.

"Rakyat kini boleh nampak keinginan Tun Mahathir untuk menjatuhkan PM tiada kaitan dengan kepentingan negara, sebaliknya hanyalah demi masa depan anaknya," kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru itu, beliau berharap agar bekas Perdana Menteri itu menerima realiti yang diterjemah melalui proses demokrasi.

"Tun Mahathir perlu terima keputusan rakyat.Beliau akan berkhidmat kepada dan legasinya akan lebih baik jika beliau menerima bahawa beliau telah gagal," ujarnya.