Polis siasat dakwaan VIP cederakan pemandu



Dua lelaki bersama seorang yang bergelar VIP didakwa terbabit dalam pergaduhan hingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemandu kereta dan teman wanitanya.

Kejadian yang berlaku jam 5.45 petang pada 15 Mei lalu itu kini menjadi viral apabila mangsa berusia 20-an memuat naik status berkenaan bersama video berdurasi 34 saat di laman sosial Facebook miliknya sejak awal pagi ini dengan mendapat lebih 200,000 tontonan dan dikongsi kira-kira 7,000 pelayar, ketika ini.

Menerusi laman sosial Facebooknya, mangsa berkata dia yang ketika itu memandu keluar dari Aman Central terus memasuki lorong tengah menuju ke persimpangan lampu isyarat di hadapan kompleks beli-belah berkenaan.

Menurutnya, tiba-tiba pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki dua lelaki berusia 20-an dan seorang orang kenamaan (VIP) berusia 50-an membunyikan hon panjang.

"Pemandu SUV itu membunyikan hon panjang dan berada di sebelah kiri kereta saya ketika lampu isyarat berwarna merah. Dia kemudian menurunkan tingkap kenderaan dan berkata 'Kenapa, kenapa... Hang tak kenal lagi aku siapa' berulang kali dan meminta saya turun dari kenderaan, tetapi saya enggan.

"Tiba-tiba lelaki berusia 50-an berkenaan turun lalu membuka pintu dan menarik kunci kereta serta menumbuk mulut saya menyebabkan luka sebelum menarik saya keluar, tetapi saya turut menumbuknya sebaik keluar dari kereta," katanya.

Disyorkan:Dato Azmi Che Husain Timbalan speaker Negeri Kedah samseng jalanan?

Dakwanya, ketiga-tiga lelaki berkenaan terus memukulnya, malah teman wanita juga ditumbuk pada dada, tangan kanan dan kiri ketika cuba meleraikan pergaduhan.

"Orang ramai yang kebetulan melalui jalan berkenaan bertindak meleraikan pergaduhan, sebelum tiga lelaki terbabit meninggalkan lokasi kejadian.

"Saya kemudian membawa teman wanita ke sebuah pusat perubatan swasta, di sini, kerana dia mengalami sesak nafas yang sangat teruk," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih melakukan siasatan untuk mengenal pasti identiti individu yang didakwa lelaki berkenaan.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan sudah dibuka pada tarikh kejadian," katanya.

Orang kenamaan berkenaan bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan maklum balas.