Pesawat EgyptAir MS804 Membelok Tajam Sebelum Terjunam



Pesawat EgyptAir dari Paris ke Kaherah yang membawa 66 penumpang dan anak kapal yang terhempas di Laut Mediterranean awal pagi ini, didapati membelok tajam semasa berada di ruang udara Laut Mediterranean sebelum menjunam dalam keadaan berpusing dari ketinggian 11,277 meter.

Dipercayai Pesawat MS804 tersebut terjunam dari ruang udara Mesir pada pukul 2.30 pagi (8.30 pagi waktu Malaysia) kira-kira 280 kilometer dari pantai Mesir tanpa membuat sebarang panggilan kecemasan.

Panos Kammenos yang merupakan Menteri Pertahan Greece berkata, jet penumpang Airbus A320 itu membelok secara tiba-tiba di udara de­ngan berpusing sebanyak 90 darjah ke kiri diikuti pusingan 360 darjah ke kanan sebelum terjunam.

Kammenos berkata, ketinggian pesawat tersebut menjunam dari 11,277 meter ke paras 4,572 meter sebelum isyarat jet penumpang itu hilang pada ketinggian 3,048 meter.

Pendedahan itu dibuat selepas seorang pakar nahas udara mendakwa keadaan pesawat berkenaan sebelum terhempas menunjukkan kapal terbang tersebut menjadi sasaran pengganas.

Menteri Penerbangan Awam Mesir, Sherif Fathy juga tidak menolak andainya keganasan sebagai punca kejadian berbanding kegagalan fungsi teknikal pesawat.

“Jika dilihat cara juruterbang mengendalikan pesawat, kemungkinan besar kapal terbang itu menjadi sasaran keganasan,” katanya.

Sementara itu di Kaherah, ahli keluarga bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah selepas dimaklumkan tentang berita kehilangan pesawat ber­kenaan.

EgyptAir menjelaskan, pesawat MS804 itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Charles De Gaulle di Paris pada pukul 11.09 malam waktu tempatan (5.09 pagi waktu Malaysia) dan sepatutnya mendarat di Kaherah pada pukul 3.15 pagi waktu tempatan (9.15 pagi waktu Malaysia), membawa 56 orang penum­pang termasuk dua bayi dan seorang kanak-kanak serta 10 orang anak kapal.

Juruterbang kapal terbang itu mempunyai pengalaman dengan rekod sebanyak 6,275 jam penerbangan termasuk 2,101 jam penerbangan dengan pesawat A320.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan sejurus nahas melibatkan Mesir, Greece dan Perancis, menemukan dua objek besar berwarna merah dan putih terapung di Laut Mediterranean dipercayai milik MS804.

Jurucakap tentera Greece, Vassilis Beletsiotis memberitahu AFP, penemuan objek terapung itu dibuat sebuah pesawat C-130 milik Mesir kira-kira 420 kilometer dari tenggara Pulau Karpathos, Greece.

Beberapa buah kapal yang menyertai operasi SAR telah dikerah untuk meneliti objek tersebut.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Pertahanan Greece berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat sebuah akaun media sosial milik kapten sebuah kapal dagang yang melaporkan melihat ‘api di udara’, kira-kira 240 kilometer dari selatan Pulau Karpathos, Greece.