Perlis gempar dilanda ribut



Kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, Perlis dikejutkan dengan kejadian angin kencang disusuli ribut kuat menyebabkan banyak pokok tumbang dan papan kenyataan berterbangan di sekitar negeri itu.

Turut terkesan ialah hampir 20 khemah yang dipasang sempena Karnival Usahawan Perlis anjuran Kerajaan Negeri Perlis yang akan bermula esok hingga 29 Mei ini.

Tinjauan mendapati, kebanyakan khemah peniaga pelbagai saiz yang dipasang di pekarangan Stadium Tunku Syed Putra roboh malah ada yang diterbangkan angin sejauh beberapa meter.

Bagaimanapun bagi peserta yang terlibat, mereka tetap akan meneruskan program walaupun telah mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.

Dalam kejadian itu, ramai yang sedang memasang khemah terpaksa melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Rata-rata yang ditemui berkata, ia pengalaman pertama bagi mereka kerana tiupan angin yang kuat dan menakutkan itu berlangsung selama beberapa minit.

“Kita mengalami kerosakan besar pada khemah dan juga merangkumi pentas tetapi kita akan perbaiki malam ini juga.

“Kami percaya hampir 20 khemah yang rosak, namun semuanya sebulat suara berasa opitimis untuk tetap meneruskan (acara) berkenaan,” ujar seorang pegawai dari Mara Perlis, Wan Saiful Baharin Wan Ahmad Marzuki.

Sementara itu bagi seorang peserta karnival, Izham Muslim, dia menyedari tentang keadaan angin yang agak luar biasa namun tidak sempat berbuat apa-apa.

“Sebelum hujan lagi angin dah terlalu kuat. Kami tak sangka jadi macam ini. Semua khemah terangkat,” ujarnya.

Ribut kuat itu juga turut menyebabkan jeti Kuala Perlis ditenggelami air laut setelah dibadai ombak sehingga pesisir pantai. Menurut Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Perlis, Lt. Kol Ishak Mohd Radzi, pihaknya menerima tidak kurang daripada 40 laporan berhubung kejadian ribut di negeri itu.

Selain itu, kawasan di sekitar Santan, Jejawi, Bohor Mali, Arau, Kampung Bakong, Kok Kelang, Pauh dan Kangar juga terdapat banyak pokok yang tumbang. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.