Penjawat awam beli resit hotel RM10 tapi tuntut RM160 - RM220



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis telah menahan 23 penjawat awam termasuk dua wanita atas tuduhan membuat tuntutan palsu sepanjang 2015.

Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah berkata, mereka yang telah ditahan dalam operasi pada Selasa dan Rabu lalu adalah terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi dan kumpulan jawatan.

“Berdasarkan siasatan yang dibuat mendapati mereka telah membeli resit dari hotel bajet di sekitar Kuala Lumpur dengan harga RM10, kemudian membuat tuntutan di pejabat masing-masing dengan harga antara RM160 dan RM220 mengikut kadar kelayakan gred masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, ada juga di antara mereka yang membuat tuntutan palsu tersebut secara kerap iaitu sebanyak 10 kali dalam tempoh setahun dengan jumlah tuntutan individu mencecah RM9,850.

Jumlah keseluruhan tuntutan bagi semua kes berkenaan ialah sebanyak RM37,180 dan pihak SPRM percaya masih ada kegiatan sama yang dilakukan di kalangan penjawat awam lain memandangkan hanya dua hotel yang telah diperiksa setakat ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Menurut Yaacop, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat dan kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan SPRM sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.