Peniaga Online mungkin kena cukai tahun depan


Kementerian Kewangan kini sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan internet di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kementerian sudahpun mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melakukan kajian terperinci mengenai perkara itu.

Malah, katanya, pihak LHDN juga sudah menubuhkan Bahagian Perniagaan dan Perdagangan Dalam Talian dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tujuan itu.

"Kita perlu mengambil langkah untuk mengenakan cukai terhadap mereka yang memperoleh pendapatan boleh dicukai iaitu antara RM3000 hingga RM4000. Jika tidak, ia hanya menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang kehilangan hasil ketika semakin banyak syarikat perniagaan beralih kepada ekonomi digital," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Forum Sektor Awam - Pembaharuan Kewangan Bagi Pembangunan Ekonomi Asia, di Kuala Lumpur. Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Irwan berkata, pihaknya juga berhasrat untuk memastikan syarikat perniagaan dalam talian untuk berdaftar dengan pihak SSM.

"Ini bagi membolehkan kita mengetahui jumlah pendapatan yang mereka perolehi," tegasnya.

Beliau berkata, mengikut kajian yang dibuat oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan pendapatan pemandu teksi/kenderaan perkhidmatan Uber dan Grab boleh mencecah sehingga RM7,000 sebulan iaitu angka yang boleh dikenakan cukai.

Ketika berucap sebelum itu, Mohd Irwan berkata, kerajaan kekal komited kepada inisiatif pengukuhan fiskal dalam usaha untuk memantapkan kedudukan kewangan serta bagi mencapai sasaran bajet seimbang pada 2020. Beliau turut menyuarakan rasa optimisnya bahawa hutang kerajaan dapat berada di paras kurang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kita berharap dapat merendahkan lagi paras itu kepada kurang 50 peratus menerusi langkah pengurangan pembaziran serta perbelanjaan secara berhemat, namun ini pastinya akan memakan masa," katanya.