Pemilik kenderaan yang guna lorong kecemasan akan terima notis temusiasat JPJ



Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah pun mula mengeluarkan notis panggilan temusiasat kepada pemilik kenderaan yang dikesan menggunakan lorong kecemasan di KM228 Lebuhraya Utara-Selatan di sini, Ahad lepas.

Pengarah JPJ Melaka Mohd Fadhil Hassan berkata pemilik kenderaan yang menerima notis itu mempunyai masa dua minggu untuk hadir ke pejabat JPJ untuk siasatan lanjut.

“Jika pemilik kenderaan tidak memandu kenderaan itu pada masa tersebut dia perlu memaklumkan (kepada JPJ) siapa yang memandu pada masa itu.

“Sekiranya mereka ingkar untuk hadir ke JPJ kita akan keluarkan saman ingkar patuhi notis tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob bagi penggal keempat di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ Datuk V.Valluvan berkata sebanyak 91 kenderaan menggunakan lorong kecemasan itu, tujuh daripadanya termasuk tiga kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sudah dikenal pasti menghalang laluan ambulans dan akan dihadapkan ke mahkamah.

Dalam kejadian Ahad lepas, kenderaan tersebut didapati menggunakan lorong kecemasan sehingga menjadi antara punca ambulans lewat tiba di lokasi kemalangan berhampiran susur keluar Simpang Ampat di sini.