Pagar sekolah runtuh



Ribut kencang yang melanda petang kelmarin menyebabkan sebahagian pagar Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Felda Jengka 1 runtuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, kesemua 200 pelajar berada di dalam dewan sebaik selesai menunaikan solat Asar berjemaah.

Guru Besar sekolah terbabit, Rosni Hassan berkata, pagar sebelah kiri sekolah yang sepanjang kira-kira 20 meter itu runtuh dipercayai akibat hakisan sebelum ini.

“Pagar sekolah itu memang sudah usang ditambah dengan keadaan hakisan menyebabkan ia runtuh.

“Dianggarkan kerugian berjumlah RM80,000. Bagaimana pun, saya bersyukur kerana semua pelajar selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam

Rosni berkata, dia bersyukur kerana sewaktu kejadian semua pelajar berkumpul di dewan.

“Biasanya selepas solat, semua pelajar akan berkumpul di dewan. Nasib baik kejadian itu tidak berlaku waktu rehat, kerana kawasan pagar menjadi lokasi pelajar duduk,” katanya.

Walau bagaimanapun sesi persekolahan berjalan seperti biasa semalam.