Padah curi penutup longkang istana



Seorang tukang baiki pendingin hawa menerima padah apabila dijel 25 bulan oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini, kerana memindahkan harta curi iaitu penutup longkang milik istana.

Majistret, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri memutuskan hukuman terhadap Mohd Faizol Bahrie Sharie, 34, selepas tertuduh mengaku salah.

Pada 16 April lalu lebih kurang jam 10 pagi, tertuduh didakwa dengan sengaja memindahkan harta curi tersebut iaitu 13 besi penutup longkang di sebuah kedai besi buruk di Kampung Jaya Jalan Pasi Hor, di sini.

[Disyorkan : Memandu atau menunggang tanpa lesen akan terus didakwa di Mahkamah mulai kini]

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut kenyataan tertuduh masuk ke kawasan Istana Kota Lama pada 15 April lalu dengan menaiki kereta bertujuan membaik pulih pendingin hawa.

Namun, pada masa sama telah berlaku kehilangan penutup longkang di kawasan istana itu. Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku mencurinya.

Terdahulu, tertuduh merayu agar hukumannya diringankan kerana mempunyai dua anak yang masih kecil, namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wong Seiw Mun memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

“Tertuduh menyalahgunakan tujuan masuk ke istana dengan melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang,” kata Siew Mun.