Orang luar berebut nak jadi 'bangsa Johor'

Dikhabarkan orang luar berebut nak jadi 'bangsa Johor'. Segelintir penduduk dari negeri lain dilaporkan sedang berebut-rebut untuk menukar rujukan angka tengah pada kad pengenalan kepada nombor ’01’ yang menandakan mereka lahir di Johor.

Orang luar berebut nak jadi 'bangsa Johor'

Malah bagi mendapatkan 'keistimewaan' itu, ada yang sanggup bayar dengan jumlah wang yang tinggi, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Beliau berkata, isu tersebut adalah perkara yang mustahil dilakukan dan pihaknya telah dimaklumkan mengenai kewujudan ‘ejen’ yang meminta bayaran sehingga ribuan ringgit konon untuk perkhidmatan pelik itu.

Namun orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan ejen penipuan itu, lapor media.



Siew Kiong mendedahkan beliau pernah ditanya oleh penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur berhubung kaedah penukaran nombor Mykad mereka kepada angka “01”, namun beliau menegaskan perkara itu mustahil.

“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk datang tinggal dan menjalankan perniagaan di Johor dan anda tidak perlu tukar nombor MyKad anda untuk tinggal di negeri ini.”

Ketika ditanya mengapa ada yang sanggup bersusah payah menukar nombor MyKad mereka, beliau menjawab bahawa dia percaya ia disebabkan oleh terma “Bangsa Johor” yang digunakan untuk merujuk kepada mereka yang lahir di negeri Johor.

Ia juga mungkin kerana pengenalan konsep “Johor Muafakat” oleh pihak kerajaan negeri Barisan Nasional yang mula menarik ramai orang luar untuk menjadi penduduk Johor.

Selain itu, katanya negeri Johor juga makmur dengan pembangunan yang stabil dan rakyat dari pelbagai bangsa dapat tinggal bersama secara harmoni.