Nurul Izzah tak mahu Najib dan Tun Mahathir



Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak mahu samada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menentukan hala tuju negara.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, hanya rakyat yang berhak menentukan pemimpin negara pada masa akan datang.

“Rakyat perlulah lebih aktif bersuara dalam forum termasuk dalam deklarasi Selamatkan Malaysia supaya suara mereka lebih didengari.

“Oleh itu saya minta lebih ramai rakyat supaya lebih aktif untuk memastikan diri mereka, suara mereka diwakili dalam pelbagai forum. Biar rakyat yang tentukan apa isunya,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas sidang media di Ibu Pejabat PKR turut menyifatkan Tun Mahathir dan Najib sebagai diktator.

“Pada saya isu ini tidak relevan kerana kita tidak mahu mantan diktator atau diktator yang ada kini untuk menentukan masa depan hala tuju Malaysia,” ujarnya lagi.

Nurul Izzah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir yang mengatakan bapanya dan juga bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Tun Mahathir pada Isnin lalu menegaskan, Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri, selain mempertahankan tindakannya memecat Anwar pada 1998 daripada Kabinet dan Umno adalah tepat.