Najib gagal teruskan saman tanpa perbiacaraan penuh



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk penyelesaian saman beliau terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya dari segi undang-undang tanpa melalui perbicaraan penuh.

Peguam, Datuk Hafarizam Harun memaklumkan perkara itu kepada media selepas prosiding di dalam kamar Hakim,Datuk Hue Siew Kheng sebentar tadi.

Beliau memberitahu permohonan yang difailkan anak guamnya itu ditolak dengan kos RM3,000.

Beliau turut berkata, alasan permohonan ditolak adalah berdasarkan keputusan terdahulu dalam permohonan interlokutori Najib bahawa kes itu hanya boleh dibicarakan.

Pada 18 Mac 2015, Perdana Menteri telah memfailkan saman terhadap Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop dan Ketua Editor Harakahdaily, Taufek Yahya kerana menerbitkan artikel yang didakwa memfitnah mengenai 1MDB yang ditulis oleh Rosli pada 19 Februari tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata, penerbitan artikel itu berniat untuk mencemarkan reputasi beliau dan menggambarkan yang beliau telah menyalahgunakan dana 1MDB.

Beliau juga mendakwa bahawa Taufek telah gagal mengamalkan sikap kewartawanan bertanggungjawab dan tidak mengesahkan sama ada isi kandungan artikel yang ditulis Rosli adalah betul sebelum menerbitkannya.

Najib turut berkata, kedua-dua defendan sengaja menerbitkan artikel itu dengan agenda peribadi untuk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap beliau.

Dr Rosli dan Taufek diwakil Peguam Wan Rohimi bin Wan Daud.